Jumaat, 22 Oktober 2010

KULIT BUKU BARU


oleh kerana aku tak puas hati dengan kulit buku yang aku buat tak-sampai-lima-belas-minit-dan-hasil-tak-cantik-tu, (sini) maka aku cuba cipta yang lain. Dan ini ambil masa hampir setengah hari sebab aku bermula petang dan habis malam.

Bila bercakap tentang CERITA CINTA, yang ada dalam fikiran aku adalah cinta!. Jadi warnanya mestilah merah dan bermotifkan bunga atau hati.


Jadi aku guna gambar ni yang aku dah buat lama dulu. Cuma aku tambahkan perkataan “Cerita Cinta Mia Kaftiya” saja. Tapi... bentuk love tu terlalu menyerlah kan?.

Tapi sebenarnya cantik jugak...

Aku pernah guna bunga ros yang merah dan berbentuk hati tapi bagi aku agak susah nak applykan sebab bunga tu gambar sebenar jadi banyak benda yang perlu diedit.

Kemudian aku fikir, apa yang penting ialah tulisan itu. Jadi aku cuba ini..


dan ini..


juga ini. Yang tak sempat siap pun aku dah tau tak menarik.


korang tak payah cakap aku sendiri tau yang semua di atas itu tak cantik.

Dan bila bercakap soal cinta aku terfikirkan sesuatu yang ROMANTIK. Jadi aku cuba ini walaupun tak-romantik-langsung

dah la tak romantik, kebudak-budakkan pulak tu.

Tapi bila difikir-fikir balik, walaupun cerita aku semuanya tentang cinta, tapi tak jiwang.. kot. Sebab bila aku baca komen yang diterima, kebanyakannya akan cakap
“sweet”
“best dowh, tergelak-gelak, terguling-guling aku baca”
“sweet and cute”

dan dari situ aku sedar, bagi pembaca mungkin cerita aku ada unsur-unsur jenaka atau biasa-biasa je, tak romantik sangat, tak jiwang sangat. Kan pembaca??..

jadi setelah mencari idea dan menciplak serba sedikit. Maka terhasillah....

taraaa....


walaupun aku kata menciplak tadi, tapi apa yang terhasil di atas adalah apa yang telah aku usahakan, bukan copy paste dari gambar orang lain ok. Cuma ciplak idea saja. Part yang paling susah sekali nak buat adalah kertas tu. Tapi tak jadi hal sebab kertas tu aku dah buat lama dah. Cuma guna pakai.

Inilah apa yang aku nak. SIMPLE-CUTE dan sikit ROMANTIK... ker?

Aku suka, kamu suka?.

Kalau kamu suka tinggalkan saja perkataan SUKA itu di shout box atau di bawah. Dalam ruangan komen.

Terima kasih!.

Jadi sekarang kalau aku bukukan cerpen-cerpen aku dengan kulit buku seperti di atas, ada sesiapa yang nak beli tak?.

Tak nak jugak?.

Hemm.. takpe lah!..*merajuk*

10.29malam-19/10/10-trysohardtomakethis-loveit!-.

Ahad, 17 Oktober 2010

CERITA CINTA MIA KAFTIYA

aku baru siapkan cover depan untuk buku aku.

oohh.. ini cerita kalau impian aku nak membukukan semua cerpen aku tercapai.

ini dia..tarraa






tak apa.. tak payah puji sebab aku tau tak cantik. hasil dari kedaigambar (photoshop) beberapa minit lepas. mula - mula aku biarkan je tulisan macam di atas, lepas tu aku tambah sikit "koleksi cerpen" kat atas sekali sebab nak tutup kekosongan ruang. at last aku buang balik sebab menyemak mata memandang plus aku tak tau nak matchkan colour.

dan.. ini lah hasilnya.

agak-agak kalau aku terbitkan sendiri buku aku seperti cover di atas dan jual dengan harga RM10 sebuah.. ada orang nak beli tak?

tak nak? takpe lah..

mesti ada yang tertanya-tanya kenapa cerita cinta?
sebab kebanyakan cerpen yang aku tulis berkaitan cinta. memang pembaca suka baca cerita cinta sampaikan aku dah tak tau nak kupaskan isu apa lagi selain cinta.

dan kenapa letak nama sendiri?
sebab aku yang tulis.

dah. itu saja untuk entry hari malam ini. aku tak ada idea nak tulis panjang-panjang.

selamat bermimpi semua...

Jumaat, 15 Oktober 2010

SURI RUMAH vs SURI PEJABAT

Sejak jadi suri di rumah ini,
aku mula jadi suka membebel,
suka nak ingatkan adik-adik lepas makan sila basuh pinggan
suka nak tegur supaya jangan mencedok lauk dalam kuali guna tangan!. Guna sudu.
Suka nak marah mereka supaya susun beg sekolah elok-elok, jangan letak merata-rata,
suka nak tegur mereka supaya kurangkan penggunaan pinggan dan cawan.
Suka nak suruh mereka supaya jangan tengok tv kalau tak pergi sekolah
suka nak arah mereka supaya sapu sampah, kemas tempat tidur dll,
suka nak membebel kat mereka jangan asyik tengok tv nanti bil elektrik melambung.
Suka nak memerhatikan perlakuan mereka.
Suka nak suruh diorang simpan baju yang aku dah lipat

Agaknya memang semua ibu yang tidak bekerja suka membebel ya?

MARI TUKAR SITUASI MASA AKU MASIH BEKERJA..

tak suka nak membebel mereka tentang bermacam perkara
tak suka nak ingatkan mereka supaya basuh pinggan lepas makan
tak pernah kisah kalau diorang nak cedok lauk dalam kuali
tak pernah kisah diorang letak beg kat mana
tak pernah nak tegur mereka supaya mengurangkan penggunaan pinggan dan cawan
tak pernah pesan kat diorang supaya jangan tengok tv pagi-pagi kalau ponteng sekolah
Tak pernah suruh diorang buat kerja mengemas rumah
tak pernah nak suruh diorang kurangkan tengok tv kecuali tukar siaran tv!
tak pernah nak perhati apa yang diorang buat, selain melepakkan diri di dalam bilik.
Tak pernah nak suruh diorang simpan baju sebab aku tak pernah lipat baju diorang.

Kalau dah awal pagi keluar rumah, lewat petang baru balik, agak-agaknya bila masa nak membebel dan memerhatikan kelakuan adik-adik kalau waktu yang ada digunakan untuk berehat dan melakukan aktiviti kesukaan.

Sekarang aku faham kenapa mak suka membebel dan kenapa anak-anak yang agak bermasalah jadikan kurang kasih-sayang mak ayah sebagai punca mereka jadi begitu. Dnn aku faham kenapa anak perempuan nak kahwin cepat dan kenapa anak lelaki nak kerja cepat. Sebab diorang nak lari dari duduk bawah ketiak mak ayah yang suka membebel. Aku faham, aku faham...


28/09/10-
selasa-
8.27mlm-
selepas membuat pemerhatian selama beberapa hari terhadap permasalahan ini-

Selasa, 12 Oktober 2010

TEMUJANJI PERTAMA


“keluar temujanji pertama dengan seseorang yang aku tak kenal? Kau gila apa???...” kataku kepada shira separuh terjerit.
“kau nak diketawakan sebab tak ada pak we dengan budak-budak tu atau kau nak keluar dengan budak lelaki ni?” soal shira bosan dengan sikap gelojohku.

Aku garu kepala. Diketawakan atau...aarrrgghh.. kalau bukan sebab ana dan kiah aku pasti tak perlu memikirkan benda yang tak masuk akal ni.

“tapi.. tapi.. lelaki tu ok ke?” soalku ragu-ragu.
“kau jangan risau la.. aku pernah jumpa dia sekali..” kata shira dengan yakinnya.
“oohh.. sekali?” soalku sambil menegakkan jari telunjuk.
Shira mengangguk
“hemm.. bagusla tu. Baru jumpa sekali dah nak suruh dia keluar dengan aku. Ntah orang tu... errgghh..aku nak sebut pun takut.” kataku bernada risau.
“helloo.. takkan aku nak suruh kau keluar dengan lelaki yang tak senonoh kot, kau ingat aku ni apa? Kawan makan kawan?” kata shira mula geram dengan sikap prejudisku.

Aku berjalan mundar-mandir di hadapannya. Sekejap-sekejap aku garu kepala yang tak gatal, kejap-kejap aku gigit kuku jari tangan. Beberapa minit selepas tu aku duduk. Kemudian aku bangun dan kembali berjalan mundar-mandir. Shira yang sedari tadi memerhatikan gelagatku menjadi runsing.

“eh.. kau duduk diam-diam boleh tak? Rimas aku tengok.” kata shira lalu ditariknya tangan aku supaya duduk di atas katil bersebelahan dengannya.

Mulutku masih tidak berhenti menggigit jari. Tabiat biasa apabila aku dilanda keresahan. Tapi ini bukan keresahan biasa. Ini keresahan melampau. Mana pernah seumur hidupku keluar dengan lelaki, kecuali keluar ramai-ramai dengan kawan-kawan perempuan yang lain. Itu pun setakat kat kafe kolej. Saat ini aku mula rasa benci dengan ana dan kiah kerana menyuruhku menetapkan satu tarikh untuk mereka berjumpa dengan teman lelakiku. Kerana merekalah, aku perlu bertungkus lumus mencari seorang lelaki untuk dijadikan teman lelakiku untuk sehari. Memang tak masuk akal tapi... mulut aku la ni, gatal sangat pergi mengaku kat diorang yang aku ada pak we sedangkan aku memang tak ada!. Ok la.. aku perlu juga untuk jaga imej aku, maruah aku.. kan?.

“so? macammana? Dah habis fikir dah?” soal shira lantas mematikan lamunanku.
Aku memandangnya dengan pandangan mohon simpati.
“apasal pandang aku macam tu? “ soal shira pelik.
“boleh tak kalau aku mengaku je yang aku sebenarnya tak ada pak we? lagipun itu bukan sesuatu yang memalukan kalau kita tak ada teman lelaki kan?” soalku sudah terasa berat kepala otak memikirkan masalah ini.
“ehh.. kau gila?. Nak mengaku macam tu pada budak gedik dua orang tu, memang sampai habis sem, sampai kau dah kerja nanti, sampai kita jumpa balik pun takkan habis topik tu diorang guna untuk bahan kau. Kau nak ke kena bahan yang kau ni tak laku, tak “hot” macam diorang tu? Nak?” soal shira tegas.
“ala... biar la diorang nak bahan pun, bukannya kalau dengan “bahan” diorang tu aku sampai tak kahwin. Kan?” kataku ambil ringan dengan perkara yang difikirkan shira. Alah, apa la sangat kena kutuk tak ada pak we?. Kalau ikutkan ramai lagi yang tak ada pak we, tak kahwin, tak ada siapa kisah pun?.
“ha'ahh.. sekarang memang la kau kata tak kisah kena bahan, nanti bila kau dah kena baru kau tau, sakit tak sakit hari-hari kena bahan point yang sama. Silap-silap jadi satu doa pula, tak ada teman lelaki sampai bila-bila.” kata shira.
Aku garu kepala, semakin muncung mulutku, agak terasa dan takut dengan kata-kata shira tu.
“kau ni jangan la takutkan aku.. patutnya sebagai kawan kau support la aku. Bagi semangat ke, bagi kata-kata peransang macam...fie, lambat-laun prince charming kau tu akan muncul juga dengan kuda putih dan cincin berliannya.. ke atau.. ”
“dah dah cukup-cukup la dengan angan-angan prince charming kau tu, letih dah aku dengarnya. Sekarang aku nak kau keluar juga dengan budak lelaki ni. Amsyar namanya.”
shira mencapai telefon bimbitnya dan mencari sesuatu sebelum menyerahkan telefon bimbitnya kepadaku.
“nah, ambil nombor dia, nanti apa-apa hal kau jumpa dia dulu. Korang plan la apa yang korang nak buat masa jumpa “hot-gurlz-ker” tu nanti.”
aku sambut telefon yang diberi dan memandang tanpa perasaan nombor yang tertera di skrin.
“hemmm... apa nak jadi? Sampai sekarang tak ada pak we lagi...” aku bernyanyi kecil.

Kepalaku dihempuk dengan bantal oleh shira.

********

aku tersadai di restoran makanan segera ini sejak setengah jam yang lalu tapi kelibat amsyar masih belum kelihatan. Aku tak tahu apa masalah dia tapi yang pasti aku memang takkan call dan tanya dimana dia berada apatah lagi bertanya adakah dia mempunyai masalah sehingga membuatkannya lewat. Oh tidak sesekali.
Tiba-tiba telefon bimbitku berbunyi, panggilan daripada shira.
“hello fie, kau kat mana?” soal shira cemas.
“kat sini la.. tengah tunggu kawan kau tu.” kataku.
“oohh.. berapa lama dah kau tunggu dia?” soal shira sudah hilang nada cemasnya diganti dengan nada lega.
“berapa lama kau nak?” soalku sarkastik.
“ada tak dalam... satu jam?” jawab shira juga sarkastik.
“almost. Weh kalau kau call aku setakat nak sakitkan hati aku baik tak payah la. Aku tengah panas ni.” kataku agak bengang.
“okeh.. okeh, aku call kau ni sebenarnya nak sampaikan satu berita.”
“berita apa pula ni?”
“si amsyar tu terlambat sikit, stuck kat jalan lagi. Ada accident. Tak pasti pukul berapa baru dia sampai.” shira menyampaikan pesannya.
“oohh ya? Bagus lah. Lepas tu dia nak suruh aku tunggu sampai bila pula ni? Agak-agak traffic jam tu ada sampai esok tak? Nampaknya aku perlu bermalam kat sini la ye?” kataku bernada sindiran. Agak geram juga, kenapa si amsyar tu tak call aku sendiri. Tak ada nombor aku? Ohh please.. takkan shira tak bagi nombor aku kat dia. Yaa.. walaupun shira yang menetapkan tarikh temujanji kami hari ini. Tapi.. takkan lah.
“hey.. hey.. chill la babe. Dia bukan sengaja lewat okeh. Perkara tak dijangka. Bukan salah dia.” kata shira lebih memihak kepada lelaki itu.
“whatever. Habis tu aku nak kena tunggu lagi la ni?” soalku.
“ala.. tunggu je la, dia kata dah tak jauh dah. Kejap lagi sampai la tu.” pujuk shira cuba menyedapkan hatiku.
“ok lah, aku cuba tunggu lagi” kataku dan talian dimatikan. Selepas tiga puluh minit kalau mamat tu tak sampai juga, aku balik. Tak kuasa aku nak tunggu lama-lama kat sini. Buang masa dan tenaga je.

********

Hari ini adalah hari malang bagi aku. Terpaksa menunggu kedatangan seorang lelaki (yang kononnya adalah penyelamat aku) selama berjam-jam dan akhirnya dia tak muncul, kemudian terpaksa berjalan kaki untuk ke stesen bas dan pasti selepas ini perlu menunggu sehingga bas itu sampai. Errgghhh.. lepas ni apa pula dugaan yang datang.
Telefon bimbitku berbunyi dari dalam beg. Aku bawanya keluar dan melihat nama shira tertera di skrin. Aku simpan semula telefon bimbit itu ke dalam beg. Tidak berminat untuk mendengar leteran shira yang pastinya bakal menyakitkan hati. Lebih-lebih lagi kalau dia tahu yang aku dalam perjalanan nak balik. Walaupun aku tetap akan bersemuka dengannya di bilik nanti. Sekurang-kurangnya bukan sekarang.
Sewaktu ingin melintasi jalan, sebuah kereta tiba-tiba muncul dari arah kanan dan membunyikan hon. Mujur aku sempat mengelak. Gila ke apa? Dah nampak orang melintas tu perlahan la sikit kereta tu. Nasib baik tak dilanggarnya aku, kalau tak memang aku mintak gantirugi nyawa. Huh.. satu lagi peristiwa malang menimpa. Sedihnya...
aku sampai di bilik asrama dengan muka lemah tak bermaya. Letih.
“hai fie, baru balik dari mana ni? Dating ehh?” tegur kiah dari belakangku sewaktu aku sedang memasukkan anak kunci ke tombol pintu untuk membuka pintu bilik.
“ha.. tak lah, beli barang jap tadi.” kataku berdalih. Tak larat nak layan soalannya.
“ye ker beli barang?? tak nampak pun barangnya. Ala.. tak payah malu-malu la dengan aku, kau baru balik dating kan? eh.. bila kau nak bawak kitorang jumpa pak we kau tu fie?” soal kiah serkap jarang.
“ala.. nanti la aku bawa keh. Aku penat ni, nak tidur..” kataku seraya melangkah masuk dan cepat-cepat mengunci pintu.
“fieee... kau pergi mana? Amsyar dah sampai dia kata kau tak ada. Kesian dia fie.” belum pun sempat aku duduk shira sudah menyerangku dengan soalan bertubi-tubi.
“mana dia tau aku tak ada? Dia kenal aku ke?” soalku malas lalu menanggal tudung dan berbaring.
“ye la.. dia call aku tanya kau pakai baju apa. Lepas tu dia kata dia tak nampak kau kat dalam tu.” kata shira yang berdiri di sebelah katilku, merenungku macam singa lapar.
“kau tau tak berapa jam aku tunggu dia kat situ macam orang bodoh? Kau tau berapa ketebalan kulit aku ni bila pekerja-pekerja kat situ pandang aku tersengih-sengih sebab diorang ingat aku tengah putus cinta? Kau tau tak berapa tahap kematuan buntut aku sebab duduk kat kerusi tu lama-lama. Kau tak kesian kat aku ke?” soalku sedih. Memohon simpati sebenarnya.
Shira duduk di sebelahku dan mencubit pipiku kuat-kuat.
“alalala.. siannya dia. Tebal kulit muka ye?. Kalau dah tau nak balik kenapa tak call, bagitau aku dulu. At least tak payah la dia susah-susah nak datang juga jumpa kau.” katanya.
“kenapa pula mesti kau yang jadi orang tengah? Kenapa bukan dia sendiri yang call aku bagitau yang dia terlambat. Apa kau tak bagi nombor aku kat dia ke?” soalku geram.
“ehh.. nak salahkan aku pula. Bukan ke aku dah bagi nombor dia kat kau? Kenapa kau tak call dia sendiri?”
“eh.. aku pula. Dia la sepatutnya kena call aku.” kata ku tak mahu mengalah.
“helllooo.. siapa nak minta tolong siapa sekarang ni?? ke.. kau malu nak call dia?” soal shira dengan sengihan mengusiknya.
“dah ar, aku penat nak tidur.” kataku lalu menarik anak beruang dan menutup muka.
“alala... cakap je la kau malu nak call dia. Kan fie kan?. fie...” shira menggeletek perutku.
Aku pukulnya menggunakan patung anak beruang ku.
********

sewaktu kuliah fizik, shira mengganggu tumpuanku dengan menghantar nota kecil berupa pertanyaan bodoh sedangkan dia cuma duduk di sebelahku. Aku tau dia paling mengantuk semasa subjek fizik maka aku dijadikan mangsa untuk dia menghilangkan rasa bosannya itu.
fie, kau faham ke apa yang puan membebel kat depan tu?” tulisnya di atas kertas A4 yang dilipat-lipat sehingga menjadi segiempat kecil.
Aku baca sekali imbas dan aku letakkan semula ia ketepi. Fokus sofia. Fokus!.
fie, puan zaha tak sesuai pakai tudung kuning kan? buat muka dia nampak gelap.” sekali lagi nota itu dihalakan kepadaku.
Kali ni aku buat tak tahu. Kadang-kadang shira bukan lah teman yang sesuai untuk dibuat teman. Adakah patut dia mempengaruhi kawan baiknya sendiri supaya jangan belajar? Tidak patut..
shira masih belum putus asa. Sekali lagi dia menulis sesuatu di atas kertas itu dan diletakkan betul-betul dihadapanku. Aku buat-buat tak nampak, tapi dicubitnya lenganku supaya membaca apa yang ditulisnya.
fie, am tanya macammana dengan plan kita tu, jadi ke tak?” aku membaca satu persatu huruf-huruf yang ditulis dengan huruf besar. Kali ni shira berjaya membuatkan aku tergoda. Lalu aku capai pen biru dan mencoretkan perkataan berupa pertanyaan.
who's that am? Bila masa pula aku ada buat apa-apa plan?” aku tolak kertas tu ke arah shira. Tersenyum lebar dia melihat reaksi positif dariku.
am pun tak kenal. Amsyar la.. plan kita yang nak kenakan ana dan kiah tu la mak cik.” balas shira.
“kenapa pula dia yang beriya-iya ni?” soalku agak pelik. Aku yang tadinya begitu kusyuk memberikan perhatian pada pelajaran kini sibuk menantikan nota cinta daripada shira.
Aku menarik nota yang dihulurkan shira.
sebab dia kata dia kesian kat kau..” aku membaca ayat itu berkali-kali. Kesian kat aku? Kenal aku pun tidak takkan boleh kesian kot? Shira menyiku lenganku supaya membalas notanya cepat.
“shahira, sofea.. apa yang awak berdua sibukkan sangat tu? Mari sini duduk kat depan.” jerit puan zaha membuatkan seisi kelas memandang ke arah kami.
Aku menyiku bahu shira sebagai tanda protes. “tu la kau kacau aku lagi..” marahku.
“ehh.. apasal aku pula.” shira mempertahankan dirinya.
“tu apa lagi tu.. cepat, dua-dua duduk kat depan saya ni. “ puan zaha sudah bercekak pinggang. Kami mengemas buku dan bangun menuju ke kerusi di barisan hadapan dewan kuliah.
“tu la aku cakap kat kau, puan zaha tak sesuai pakai tudung kuning..” bisik shira ke telingaku.
Aku tersenyum. Apa kena-mengena puan zaha tak sesuai pakai tudung kuning dengan kita yang kena tangkap sebab main??.

******

“aku dah plan dengan am. Kali ni korang tak payah jumpa kat mana-mana restoran sebab tempat tu ramai orang. Hari ni korang jumpa kat....”
“taman? Eii kau gila, dah la tu port budak-budak kita dating. Karang tak pasal-pasal aku kantoi dengan sesiapa. Naya babe.” kataku berdiri dan memotong percakapan shira
“hei kau dengar aku cakap sampai habis dulu dulu boleh kannn...?” soal shira bengkek.
“ohh.. ok. “ kataku kembali duduk.
“korang jumpa kat jusco kat bahagian barang-barang basah...” sekali lagi aku berdiri dan kata-kata shira aku potong.
“hey.. kau ni beragak sikit, nak suruh aku beli barang-barang masak ke kat situ?.” soalku tak sabar. Gementar sebenarnya.
Shira menjegilkan matanya sambil mengetap bibir. Sekali lagi aku terduduk semula.
“kau dan dia akan pakai baju putih supaya senang dilihat. Lagi pula kat bahagian tu biasanya tak ramai budak-budak muda. Dan lagi kebarangkalian untuk korang tertangkap dengan budak-budak kolej ini adalah tipis. Sebab diorang takkan beli barang-barang basah. Kan?”
aku angkat sebelah tangan.
“boleh aku bercakap?” soalku meminta izin.
“silakan.” jawab shira memberi keizinan.
“kenapa mesti baju putih? Tukar la baju warna lain.” pintaku.
“no no no!. Kepuusan aku muktamad. Sudah, pergi siapkan apa yang patut, pukul tiga kau mesti dah ada kat sama.” kata shira sambil menolak badanku ke almari pakaian milikku.
“ta.. tapi..”
“no tapi, tapi. Discussion over. Dan sekarang aku nak baca novel.” shira berbaring di atas katilnya dan membaca novel dengan muka berseri-seri.
“huuhh..” aku mengeluh panjang di hadapan almari pakaian yang bergantungan beberapa helai baju berwarna putih.

Pukul tiga!. Aku berdiri di tepi peti sejuk memerhatikan manusia-manusia yang sedang leka memilih barang-barang keperluan mereka. Terasa macam orang bodoh je menunggu seseorang di tempat sebegini. Ohh mungkin aku patut menolak troli dan berpura-pura membeli sesuatu?. Lepas dah penuhkan troli dengan barang-barang yang tak diperlukan nak buat apa? Susun balik ke tempat asalnya?.atau tinggalkan saja troli itu di mana-mana untuk disusun oleh pekerja-pekerja disini. ah.. lupakan!.
“assalamualaikum.” suara seorang lelaki memberi salam kedengaran dari belakangku. Perlahan-lahan aku memusing. Dan mendapati seorang lelaki yang memakai t-shirt berkolar berwarna putih dengan gambar seekor kuda hitam di dada sebelah kirinya.
Aku dah kata dah. Aku pantang tengok lelaki pakai baju putih...
“hai. Sofea kan?” soalnya.
Aku mengangguk.
“saya amsyar” katanya.
Aku mengangguk lagi.
“dah lama tunggu?” soalnya.
Aku menggeleng.
“nak lepak kat sini ke?” soalnya lagi.
Aku mengangguk. Kemudia menggeleng. Lepak kat sini? Tak nak aku.
Amsyar ketawa.
“shira tak ada pula cakap yang awak ni sakit tekak.” katanya.
Aku angkat kening.
“jom la, kita cari tempat yang boleh duduk.” pelawanya.
Aku mengangguk.
Aku membiarkannya melangkah dulu dan aku mengekorinya dari belakang sehingga kami berhenti di hadapan restoran makanan segera. Aku memandang ke dalam sekeliling restoran dan tiba-tiba mataku ternampak kelibat ana sedang enak menjamu selera dengan pak wenya. Cepat-cepat aku menyorok di sebalik tiang.
“eh, am.. awak nak makan kat sini ke?” soalku.
Amsyar yang baru ingin melangkah masuk, berpatah balik dan berdiri di hadapanku.
“kenapa? Tak nak ke?” soalnya.
“err.. kita pergi tempat lain lah.” ajuku.
Amsyar mengangkat sebelah keningnya dan memandang sekeliling.
“oh.. tempat ni tak selamat ye?” soalnya. Memahami.
“ha'ahh.. ana ada kat dalam..” jawabku.
“ok lah.. jom!.” kali ini dia menungguku untuk berjalan beriringan dengannya. Aku akur.
Apa istimewanya lelaki yang memakai baju putih sehingga boleh melemahkan lututku?

---------------------------------------????



Ada satu part dalam cerita ni merupakan kisah benar yang merupakan kunci kepada keseluruhan rekaan cerita. Tapi "kunci" itu hanya boleh korang cari selepas baca keseluruhan cerita ini. Ana dan kiah, sekarang aku nak berterima kasih kat korang untuk masa lalu itu.


p/s : Rata-rata yang baca, ramai cakap diorang paling suka cerita ni, Alhamdulillah... :) 

*Untuk membaca versi penuh, tunggu kemunculan buku koleksi cerita mia kaftiya bahagian 2, nanti! heheh.. Oh ya, untuk buku Cerita cinta miaKaftiya dah boleh diorder sekarang! Klik sini.


Sabtu, 2 Oktober 2010

SURI dihati SUFI





Novel yang duduknya dalam kotak itu aku punggah. Satu persatu tajuk aku lihat, mencari novel mana yang paling menarik untuk dibaca. Akhirnya novel saat cinta bersemi karya damya hanna aku capai. Walaupun dah baca berulang-ulang kali, novel ini tetap menjadi pilihan aku. Aku mencapai sebiji bantal dan berbaring di atas lantai. Hanya bab-bab yang terpilih saja aku baca. Sekadar untuk menghilangkan kebosanan yang mengcengkam diri.
Selepas beberapa saat kebosanan masih belum hilang, aku letak novel ke tepi. Aku ramas rambut dan menjerit sekuat hati. Biarkan.. biar satu malaysia tau yang hidup aku dilanda kebosanan terlampau. Biar mama dan papa tau, bukan kemewahan yang aku inginkan, biar semua orang gaji dalam rumah ini tau, bukan layanan bak puteri yang aku harapkan, biar kawan-kawan aku tau, kemewahan tak membawa sebarang erti dalam hidup aku sedangkan diri aku tak ubah seperti seorang anak yatim yang kehilangan ibu dan ayah. Biar mereka tahu. Aaarrrhhhhhh............

****
Aku ingin keluar, tapi dihalang oleh manusia-manusia yang tak pandai senyum di rumah ini. Aku peluk tubuh. Memikirkan apa alasan untuk aku berikan supaya mereka tidak menghalang aku.
“Suri nak jumpa kawan..” Kataku akhirnya.

Mereka membuka laluan untukku dan mengiringiku ke kereta yang diparking di luar rumah. Pintu kereta dibuka dan aku meluru masuk. Tahap kebosanan aku makin mendidih naik. Bosan kerana setiap langkah kakiku akan dikawal oleh manusia-manusia ini. Tidak seorang pun yang berani memandang hatta bercakap denganku, masing-masing dengan muka serius. Aku bosan!.
Kereta yang dinaiki aku berhenti di sebuah restoran. Restoran biasa, restoran untuk golongan kelas sederhana. Alasan aku untuk berjumpa kawan disini palsu semata. Aku tau kalau direstoran begini pastilah tahap keselamatannya tidak begitu tinggi, mungkin aku boleh meloloskan diri mengikut pintu belakang tanpa dikesan oleh “bodyguard” aku tu. Mungkin!.
“Tunggu kat luar, Suri tak nak orang pandang pelik kat kami” Pesan ku pada salah seorang dari mereka, aku sendiri tak tahu apa nama-nama mereka semua ni. Lelaki itu mengangguk faham. Segaris senyuman aku sembunyikan dari pandangan mereka.

Aku mengambil tempat agak ke tengah, jauh dari pintu supaya mereka tak nampak perlakuanku. Aku cuma duduk sambil memikirkan strategi yang seterusnya. Mataku melingas memerhatikan sekeliling tapi dalam keadaan terkawal supaya tidak dikesan oleh sesiapa. Kerap kali pelanggan-pelanggan yang keluar dan masuk ke dalam satu sudut di situ, mungkin ke tandas. Aku perlu mencari lokasi letaknya dapur.
“Nak makan apa?”

Mataku melingas lagi memerhatikan keadaan sekeliling. Dalam pada itu aku tetap berhati-hati pada lelaki-lelaki yang memakai pakaian seragam berwarna hitam di luar sana tu, walaupun diarahkan supaya duduk di luar, mata mereka tidak lepas dari memandang aku.
“Cik, nak makan apa?”

Aku tak boleh berlama-lama disni, aku perlu mencari dapur secepat yang mungkin. Ahh.. mungkin boleh tanya pada pelayan disini?.
“Hey.. kau ni nak makan ke tak nak?”
Aku memandang ke kanan tatkala seseorang menghempaskan pen dan buku nota kecilnya di atas meja aku. Seorang pelayan lelaki memandangku bengis.
“Ya?..” Soalku agak terkejut dengan perlakuannya. Tak pernah aku makan dimana-mana restoran pun seorang pelayan melakukan sebegini terhadap pelanggannya.
“Dari tadi saya tanya, awak nak makan apa?” Soal pelayan ini bosan.
“Ohh..err..” Aku membelek-belek menu yang ada di atas meja. Mencari sesuatu untuk dibuat pesanan sedangkan aku ke sini bukan untuk makan.
“Err.. dapur kat mana ye?” Soalku akhirnya. Aku harus bertindak segera sebelum mereka di luar sana tu mengesyaki sesuatu.
“Dapur?. Apasal? Kau nak masak sendiri ke?. Hey, kalau nak masak sendiri pergi balik la, tak payah makan kat sini, ataupun kau nak apply jawatan jadi chef kat sini?. Kalau nak boleh aku rekomenkan.” Lancang pelayan ini berkata-kata.
“Eh.. tak.. bukan, bukan.” Kataku cuba memintas kata-katanya
“Habis tu?. Ohh.. kau ni dari jabatan kesihatan ke nak buat sport check dapur kami ni bersih ke tak? Macam tu?.” Katanya lagi.
“Eh.. boleh tak awak dengar dulu penjelasan saya?. Saya nak lari dari orang-orang jahat kat luar tu, saya nak lari ikut pintu belakang sebelum terlambat.”
Pelayan itu terdiam. Dia mengalihkan pandangannya ke luar.
“Kau tunggu sini, kejap lagi tunggu aku kat pintu toilet, buat macam biasa, jangan bagi diorang curiga.” Pesan pelayan itu lagi. Aku mengangguk cuma. Dalam hati berdebar-debar andai misi ini tak berjaya, pasti aku akan dikurung lagi dalam istana besi itu.

Selepas kelibat pelayan lelaki itu hilang aku melangkah dengan penuh yakin ke arah toilet. Nasib baik kedudukan toilet ini agak tersorok. Aku menanti di laluan ke tandas. Pelayan lelaki itu keluar dengan t-shirt biasa tanpa apron di badannya.
“Jom..” katanya lalu dia berjalan mendahului aku. Kami tidak ke dapur sebaliknya ke satu pintu khas untuk keluar, menuju ke belakang restoran. Dia memerhatikan keadaan sekeliling sebelum membenarkan aku keluar. Agak berhati-hati orangnya, membuatkan aku berasa selamat dengannya.
Kami berjalan terhendap-hendap sambil menyorok di sebalik tong-tong sampah dan kotak-kotak yang disusun di belakang barisan kedai sehingga akhirnya kami berjaya melepasi kawasan restoran itu. Aku menarik nafas lega. Terlampau lega...
“Apasal kau nak lari dari diorang? Diorang tu siapa?” Soal pelayan lelaki yang belum aku ketahui namanya.
“Ermmm...” Aku menunduk, tak tahu jawapan apa yang patut aku berikan. Mengaku padanya yang aku sebenarnya lari dari rumah? Atau menipu yang aku sebenarnya tak kenal lelaki-lelaki itu semua??.. tapi aku memang tak kenal lelaki tu pun.
“Kalau tak nak cerita tak apa la.. habis lepas ni kau nak pergi mana?” Soal pelayan ini lagi. Aku memandangnya sekilas. Betul juga, mana aku nak pergi lepas ni? Aku tak ada kawan-kawan selain kawan-kawan yang aku ada sekarang. Tapi bukan idea yang baik jika aku pergi menemui mereka kerana dengan mudahnya jejak aku dapat dikesan. Macam mana ni?
“Err.. kalau saya ikut awak balik boleh tak?” Soalku memohon simpati. Mungkin itu bukan idea yang bagus mengikut seorang lelaki yang tidak dikenali ke rumahnya, tapi kalau lelaki ni bukan budak baik, dia takkan tolong aku tadi. Dan lagi naluri aku kuat mengatakan dia boleh diharap.
“Kau lari dari rumah ya?” Soal lelaki ini. Curiga.
Aku tersengih sumbing.
“Dah la, jom!.” Dia bingkas bangun dan berjalan mendahului aku. Aku mengikutnya dari belakang. Mataku sempat memerhatikan keadaan sekeliling. Sebelum aku sampai di rumahnya aku belum boleh dikira selamat lagi di luar ni.
“Nama kau apa?” Soalnya berpusing memandangku.
“Suri.. awak?”
“Sufi.”
*******

Aku dibawa ke sebuah rumah papan di sebuah perkampungan. Agak jauh juga jaraknya dari restoran tadi. Sufi memberi salam dan menanggalkan kasutnya.
“Masuklah” Pelawanya.
Aku menanggalkan kasut sambil mataku tak lepas memerhatikan keadaan sekeliling rumah. Selamat ke duduk rumah ni? Macam nak roboh je aku tengok.
“Suri..!! “ Aku terdengar namaku dipanggil. Kelihatan Sufi sedang berdiri di sebelah perempuan tua yang duduk di atas lantai, seperti sedang menumbuk sesuatu. Perlahan-lahan aku berjalan mendekati mereka.
“Ni mak.” Sufi memperkenalkan aku kepada maknya. Aku menunduk dan menyalam tangan wanita separuh usia itu.
“Eh, Suri matikan telefon kau tu kalau kau tak nak diorang kesan kau kat sini.” Pesan Sufi lalu cepat-cepat aku keluarkan telefon bimbit dari dalam kocek seluar dan menekan butang padam. Mungkin aku akan terputus hubungan dengan dunia luar sehingga aku bersedia untuk kembali ke istana batu itu.
“Nama kamu ni siapa?” Soal emak Sufi tiba-tiba.
“Err.. Suri mak cik.” Aku duduk bersimpuh di hadapan perempuan tua ini.
“Mak cik tumbuk apa ni?” Soalku cuba beramah mesra.
“Kelapa, nak buat kerisik “ Katanya sambil tangannya ligat menumbuk kelapa menggunakan penumbuk yang panjang dan agak berat.
“Oo...” Itu saja reaksi yang mampu aku beri sedangkan aku sendiri tak tahu apa itu yang dikatakan kerisik. Sufi sejak tadi sudah menghilang entah kemana.
“Err.. mak cik.”
“Panggil mak je..” Kata-kataku dipintas oleh mak cik ini.
“Hee.. mak.. sebenarnya, Suri.. Suri..” Niat di hatiku ingin meminta izin dengannya untuk brmalam di rumah ini untuk beberapa hari, mungkin beberapa minggu, walaupun aku agak kurang yakin dengan tahap kestabilan struktur rumah yang macam nak roboh ni. Tapi aku tak ada pilihan.
“Suri nak tumpang rumah mak?” Soal mak seolah-olah dia dapat membaca fikiranku.
Walaupun agak terkejut aku sempat mengangguk. Mungkin Sufi dah beritahu pada mak tentang kedatanganku tadi.
“Boleh.. duduk je la kat rumah mak selama mana pun yang suri nak. Lagipun rumah mak ni bukan ada sesiapa. Tinggal mak dengan Sufi tu je la berdua. Ada Suri ni, seronok sikit mak, ada teman nak masak kat dapur.” Kata-kata mak diiringi senyuman mesra di bibirnya seolah-olah dia begitu seronok dengan kedatanganku. Lega rasanya. Tapi...
“Pasal belanja Suri jangan risau, kalau setakat makan minum tu mak boleh tanggung, lagipun Sufi tu rajin menanam sayur, habis ditebasnya semak kat belakang rumah tu ditanamnya sayur-sayur kampung. Suri tak bawa baju ye? Ha.. tak apa baju mak pun banyak, boleh Suri pinjam.”
Sekali lagi aku terdiam. Betul ke mak ni boleh baca fikiran orang??

******

Aku memandang penampilanku di cermin usang milik emak ini berkali-kali. Macam tak percaya pakaian ni tersarung di tubuhku. Seumur hidupku inilah pertama kali aku memakai kain batik dan berbaju kurung pendek, atau kurung kedah kata mak. Kelakar pula rasanya. Macam anak gadis kampung!. Aku tersenyum sendiri lalu menyarung tudung milikku menutupi rambut sebelum keluar dari bilik.
Aku ke dapur dan mendapati dapur itu sunyi. Tiada sesiapa di situ, mana perginya Sufi dan mak?. Aku ke ruang hadapan dan terdengar sayup-sayup suara mak dan Sufi di luar rumah. Aku menyarung selipar yang agak besar saiznya dari kakiku dan menuju ke belakang rumah.
“Ambil la lagi keladi tu, mana cukup banyak ni..” Leter mak kepada Sufi yang sedang bercangkung.
“Cukup la tu mak, bukan ramai pun yang nak makan, tiga orang je. Yang ni kita simpan la untuk lain kali pula..” Kata Sufi. Aku yang tercegat di belakang ni pun mereka tak sedar.
“Hisy.. nak disimpan-simpan buat apa, nanti dia tumbuh lagi banyak.. tak termakan kita.” Kata mak pula.
“Ehem..ehemmm...mak, buat apa tu?” Tegurku lantas mematahkan terus perbalahan di antara Sufi dan mak. Kedua-dua mereka mengalih memandang ke arahku.
“Ni, mak nak ambil keladi nak buat masak tengahari ni, si Sufi ni ha.. orang suruh ambil banyak dia kata cukup sepokok. Mana cukup....”
Aku mengalihkan mata memandang Sufi yang sedang bercangkung sambil memandangku dari atas ke bawah. Tidak berkelip.
“Mak nak buat keladi masak asam, sedap.. Suri pernah makan keladi masak asam?” Soal mak. Aku menjawab pertanyaan mak tapi dalam keadaan mataku belum lepas memandang pelik ke arah Sufi yang memandangku sebegitu rupa.
“Err.. tak pernah mak”
Sedikit demi sedikit aku nampak senyuman sinis terukir di bibir Sufi sebelum dia ketawa terbahak-bahak sampai terduduk di atas tanah. Dan menghentak-hentakkan kaki.
Aku kerut kening dengan perlakuannya manakala emak menggaru-garu kepalanya yang ditutupi anak tudung. Agak lama kami berdua memandang dengan penuh kehairanan ke arah Sufi.
“Mak.. kelakarnya tengok Suri pakai baju mak ni, macam anak orang kampung la... hahahahha...” Kata Sufi sambil menekan-nekan perutnya dan menunjuk ke arahku.
Mak memandangku sebelum mak juga ikut ketawa sedikit demi sedikit. Aku sendiri turut mentertawakan penampilanku. Kelakar.
“Heii.. sudah sudah la tu, jangan ketawakan orang. Tak baik.” Tegur mak, tapi mulutnya sendiri masih belum berhenti ketawa.
“Kelakar la mak..” Kata Sufi dengan sisa tawanya.
“Ishh... sakit perut aku asyik ketawa, dah la.. jom Suri kita masuk. Jangan dilayan budak tu.. bab ketawakan orang nombor satu la dia."
Aku berjalan beriringan dengan mak ke dapur. Sempat aku menoleh dan melihat Sufi tergeleng-geleng kepalanya dengan sisa ketawa di bibir. Mata kami sempat bertaut dan aku menghadiahkannya sebuah senyuman. Sebagai tanda terima kasih.

*******

Selepas beberapa hari di rumah ini macam-macam perkara baru yang aku belajar. Kalau dulu tak pernah-pernahnya aku memasak tapi sekarang, aku dah jadi pembantu tukang masak. Kalau awal-awal dulu aku tak tahu apa tu kerisik tapi sekarang aku pula yang jadi tauke kerisik. Teringat masa mula-mula aku belajar buat kerisik.
“Kelapa parut ni kita kena goreng dulu bagi garing sikit. Tapi bukan goreng guna minyak. Goreng je dalam kuali tanpa minyak, bila dia dah tukar warna jadi perang tu baru boleh tumbuk.” Terang mak panjang lebar. Aku mengangguk-angukkan kepala.
“Lepas tu masukkan dalam lesung ni, tumbuk sampai dia lumat, tumbuk sampai jadi kerisik lah. ha.. nah! Tumbuk.” Kata mak lalu menghulurkan kepadaku anak lesung batu yang panjang tu. Aku sambut dengan sebelah tangan, tapi lesung itu hampir terlepas dari peganganku kerana terlalu berat.
“Beratnya mak..” Rengekku.
“Ishh.. tak berat la, mak pegang sebelah tangan je ha.” Kata mak sambil menunjukkan demonstrasi menumbuk kerisik.
“Nah, cuba..” Mak menyerahkan kembali tugas menumbuk itu kepadaku. Aku cengkam penumbuk itu dengan kedua-dua belah tangan dan mengangkatnya dengan segala kudrat yang aku ada. Satu, dua, tiga.. dah! Aku termengah.
“Aik?.. baru tiga kali tumbuk dah tak larat? Macammana nak jadi tauke kerisik ni?..” Tegur Sufi yang tiba-tiba muncul. Mungkin baru balik dari restoran.
“Siapa kata tak larat? Orang nak betulkan baju la,,” Kataku pura-pura menyinsing lengan baju kurung. Sufi tersengih memerli.
“Cepat la tumbuk, aku nak tengok.” Gesa Sufi sedangkan aku sengaja melambat-lambatkan menyinsing lengan baju dengan harapan yang dia akan pergi. Tapi yang terjadi sebaliknya!.
“Eeii.. sibuk je nak tengok orang tumbuk buat apa, pergi la main jauh-jauh.” Kataku pura-pura marah.
“Ala, biarla kita nak main kat sini pun, apa salahnya.” Kata Sufi menggelarkan dirinya “kita” macam budak-budak pula.
“Eeii.. orang tak suka la kamu main kat sini, orang susah nak buat kerja.. pergi la main jauh-jauh. Karang orang panggil mak kang!!..” Kataku seakan menggertaknya.
“Ala.. kita tak kisah pun.. panggil la, kita nak duduk kat sini juga. Cepat la Suri.. kita nak tengok awak main tumbuk-tumbuk.” Kata Sufi menyakatku.
“Eii.. makkkk... tengok Sufi ni.. dia kacau Suri...” Jeritku kepada mak yang sedang mengutip cili di luar rumah.
“Sufiiii.. karang mak suruh kamu yang tumbuk kerisik tu baru kamu tau.” Jerit mak dari luar cukup jelas untuk pendengaran kami.
“Eeii.. dia ni, suka mengadu la. Kita tak nak kawan dengan kamu dah.” Kata Sufi dengan mulut yang sengaja di muncungkan lalu beredar ke biliknya.
Aku tersenyum dengan gelagat spontannya.


---------------------????


Siapa Sufi sebenarnya?


*Untuk membaca versi penuh, tunggu kemunculan buku koleksi cerita mia kaftiya bahagian 2, nanti! heheh.. Oh ya, untuk buku Cerita cinta miaKaftiya dah boleh diorder sekarang! Klik sini.