Sabtu, 2 Oktober 2010

SURI dihati SUFI





Novel yang duduknya dalam kotak itu aku punggah. Satu persatu tajuk aku lihat, mencari novel mana yang paling menarik untuk dibaca. Akhirnya novel saat cinta bersemi karya damya hanna aku capai. Walaupun dah baca berulang-ulang kali, novel ini tetap menjadi pilihan aku. Aku mencapai sebiji bantal dan berbaring di atas lantai. Hanya bab-bab yang terpilih saja aku baca. Sekadar untuk menghilangkan kebosanan yang mengcengkam diri.
Selepas beberapa saat kebosanan masih belum hilang, aku letak novel ke tepi. Aku ramas rambut dan menjerit sekuat hati. Biarkan.. biar satu malaysia tau yang hidup aku dilanda kebosanan terlampau. Biar mama dan papa tau, bukan kemewahan yang aku inginkan, biar semua orang gaji dalam rumah ini tau, bukan layanan bak puteri yang aku harapkan, biar kawan-kawan aku tau, kemewahan tak membawa sebarang erti dalam hidup aku sedangkan diri aku tak ubah seperti seorang anak yatim yang kehilangan ibu dan ayah. Biar mereka tahu. Aaarrrhhhhhh............

****
Aku ingin keluar, tapi dihalang oleh manusia-manusia yang tak pandai senyum di rumah ini. Aku peluk tubuh. Memikirkan apa alasan untuk aku berikan supaya mereka tidak menghalang aku.
“Suri nak jumpa kawan..” Kataku akhirnya.

Mereka membuka laluan untukku dan mengiringiku ke kereta yang diparking di luar rumah. Pintu kereta dibuka dan aku meluru masuk. Tahap kebosanan aku makin mendidih naik. Bosan kerana setiap langkah kakiku akan dikawal oleh manusia-manusia ini. Tidak seorang pun yang berani memandang hatta bercakap denganku, masing-masing dengan muka serius. Aku bosan!.
Kereta yang dinaiki aku berhenti di sebuah restoran. Restoran biasa, restoran untuk golongan kelas sederhana. Alasan aku untuk berjumpa kawan disini palsu semata. Aku tau kalau direstoran begini pastilah tahap keselamatannya tidak begitu tinggi, mungkin aku boleh meloloskan diri mengikut pintu belakang tanpa dikesan oleh “bodyguard” aku tu. Mungkin!.
“Tunggu kat luar, Suri tak nak orang pandang pelik kat kami” Pesan ku pada salah seorang dari mereka, aku sendiri tak tahu apa nama-nama mereka semua ni. Lelaki itu mengangguk faham. Segaris senyuman aku sembunyikan dari pandangan mereka.

Aku mengambil tempat agak ke tengah, jauh dari pintu supaya mereka tak nampak perlakuanku. Aku cuma duduk sambil memikirkan strategi yang seterusnya. Mataku melingas memerhatikan sekeliling tapi dalam keadaan terkawal supaya tidak dikesan oleh sesiapa. Kerap kali pelanggan-pelanggan yang keluar dan masuk ke dalam satu sudut di situ, mungkin ke tandas. Aku perlu mencari lokasi letaknya dapur.
“Nak makan apa?”

Mataku melingas lagi memerhatikan keadaan sekeliling. Dalam pada itu aku tetap berhati-hati pada lelaki-lelaki yang memakai pakaian seragam berwarna hitam di luar sana tu, walaupun diarahkan supaya duduk di luar, mata mereka tidak lepas dari memandang aku.
“Cik, nak makan apa?”

Aku tak boleh berlama-lama disni, aku perlu mencari dapur secepat yang mungkin. Ahh.. mungkin boleh tanya pada pelayan disini?.
“Hey.. kau ni nak makan ke tak nak?”
Aku memandang ke kanan tatkala seseorang menghempaskan pen dan buku nota kecilnya di atas meja aku. Seorang pelayan lelaki memandangku bengis.
“Ya?..” Soalku agak terkejut dengan perlakuannya. Tak pernah aku makan dimana-mana restoran pun seorang pelayan melakukan sebegini terhadap pelanggannya.
“Dari tadi saya tanya, awak nak makan apa?” Soal pelayan ini bosan.
“Ohh..err..” Aku membelek-belek menu yang ada di atas meja. Mencari sesuatu untuk dibuat pesanan sedangkan aku ke sini bukan untuk makan.
“Err.. dapur kat mana ye?” Soalku akhirnya. Aku harus bertindak segera sebelum mereka di luar sana tu mengesyaki sesuatu.
“Dapur?. Apasal? Kau nak masak sendiri ke?. Hey, kalau nak masak sendiri pergi balik la, tak payah makan kat sini, ataupun kau nak apply jawatan jadi chef kat sini?. Kalau nak boleh aku rekomenkan.” Lancang pelayan ini berkata-kata.
“Eh.. tak.. bukan, bukan.” Kataku cuba memintas kata-katanya
“Habis tu?. Ohh.. kau ni dari jabatan kesihatan ke nak buat sport check dapur kami ni bersih ke tak? Macam tu?.” Katanya lagi.
“Eh.. boleh tak awak dengar dulu penjelasan saya?. Saya nak lari dari orang-orang jahat kat luar tu, saya nak lari ikut pintu belakang sebelum terlambat.”
Pelayan itu terdiam. Dia mengalihkan pandangannya ke luar.
“Kau tunggu sini, kejap lagi tunggu aku kat pintu toilet, buat macam biasa, jangan bagi diorang curiga.” Pesan pelayan itu lagi. Aku mengangguk cuma. Dalam hati berdebar-debar andai misi ini tak berjaya, pasti aku akan dikurung lagi dalam istana besi itu.

Selepas kelibat pelayan lelaki itu hilang aku melangkah dengan penuh yakin ke arah toilet. Nasib baik kedudukan toilet ini agak tersorok. Aku menanti di laluan ke tandas. Pelayan lelaki itu keluar dengan t-shirt biasa tanpa apron di badannya.
“Jom..” katanya lalu dia berjalan mendahului aku. Kami tidak ke dapur sebaliknya ke satu pintu khas untuk keluar, menuju ke belakang restoran. Dia memerhatikan keadaan sekeliling sebelum membenarkan aku keluar. Agak berhati-hati orangnya, membuatkan aku berasa selamat dengannya.
Kami berjalan terhendap-hendap sambil menyorok di sebalik tong-tong sampah dan kotak-kotak yang disusun di belakang barisan kedai sehingga akhirnya kami berjaya melepasi kawasan restoran itu. Aku menarik nafas lega. Terlampau lega...
“Apasal kau nak lari dari diorang? Diorang tu siapa?” Soal pelayan lelaki yang belum aku ketahui namanya.
“Ermmm...” Aku menunduk, tak tahu jawapan apa yang patut aku berikan. Mengaku padanya yang aku sebenarnya lari dari rumah? Atau menipu yang aku sebenarnya tak kenal lelaki-lelaki itu semua??.. tapi aku memang tak kenal lelaki tu pun.
“Kalau tak nak cerita tak apa la.. habis lepas ni kau nak pergi mana?” Soal pelayan ini lagi. Aku memandangnya sekilas. Betul juga, mana aku nak pergi lepas ni? Aku tak ada kawan-kawan selain kawan-kawan yang aku ada sekarang. Tapi bukan idea yang baik jika aku pergi menemui mereka kerana dengan mudahnya jejak aku dapat dikesan. Macam mana ni?
“Err.. kalau saya ikut awak balik boleh tak?” Soalku memohon simpati. Mungkin itu bukan idea yang bagus mengikut seorang lelaki yang tidak dikenali ke rumahnya, tapi kalau lelaki ni bukan budak baik, dia takkan tolong aku tadi. Dan lagi naluri aku kuat mengatakan dia boleh diharap.
“Kau lari dari rumah ya?” Soal lelaki ini. Curiga.
Aku tersengih sumbing.
“Dah la, jom!.” Dia bingkas bangun dan berjalan mendahului aku. Aku mengikutnya dari belakang. Mataku sempat memerhatikan keadaan sekeliling. Sebelum aku sampai di rumahnya aku belum boleh dikira selamat lagi di luar ni.
“Nama kau apa?” Soalnya berpusing memandangku.
“Suri.. awak?”
“Sufi.”
*******

Aku dibawa ke sebuah rumah papan di sebuah perkampungan. Agak jauh juga jaraknya dari restoran tadi. Sufi memberi salam dan menanggalkan kasutnya.
“Masuklah” Pelawanya.
Aku menanggalkan kasut sambil mataku tak lepas memerhatikan keadaan sekeliling rumah. Selamat ke duduk rumah ni? Macam nak roboh je aku tengok.
“Suri..!! “ Aku terdengar namaku dipanggil. Kelihatan Sufi sedang berdiri di sebelah perempuan tua yang duduk di atas lantai, seperti sedang menumbuk sesuatu. Perlahan-lahan aku berjalan mendekati mereka.
“Ni mak.” Sufi memperkenalkan aku kepada maknya. Aku menunduk dan menyalam tangan wanita separuh usia itu.
“Eh, Suri matikan telefon kau tu kalau kau tak nak diorang kesan kau kat sini.” Pesan Sufi lalu cepat-cepat aku keluarkan telefon bimbit dari dalam kocek seluar dan menekan butang padam. Mungkin aku akan terputus hubungan dengan dunia luar sehingga aku bersedia untuk kembali ke istana batu itu.
“Nama kamu ni siapa?” Soal emak Sufi tiba-tiba.
“Err.. Suri mak cik.” Aku duduk bersimpuh di hadapan perempuan tua ini.
“Mak cik tumbuk apa ni?” Soalku cuba beramah mesra.
“Kelapa, nak buat kerisik “ Katanya sambil tangannya ligat menumbuk kelapa menggunakan penumbuk yang panjang dan agak berat.
“Oo...” Itu saja reaksi yang mampu aku beri sedangkan aku sendiri tak tahu apa itu yang dikatakan kerisik. Sufi sejak tadi sudah menghilang entah kemana.
“Err.. mak cik.”
“Panggil mak je..” Kata-kataku dipintas oleh mak cik ini.
“Hee.. mak.. sebenarnya, Suri.. Suri..” Niat di hatiku ingin meminta izin dengannya untuk brmalam di rumah ini untuk beberapa hari, mungkin beberapa minggu, walaupun aku agak kurang yakin dengan tahap kestabilan struktur rumah yang macam nak roboh ni. Tapi aku tak ada pilihan.
“Suri nak tumpang rumah mak?” Soal mak seolah-olah dia dapat membaca fikiranku.
Walaupun agak terkejut aku sempat mengangguk. Mungkin Sufi dah beritahu pada mak tentang kedatanganku tadi.
“Boleh.. duduk je la kat rumah mak selama mana pun yang suri nak. Lagipun rumah mak ni bukan ada sesiapa. Tinggal mak dengan Sufi tu je la berdua. Ada Suri ni, seronok sikit mak, ada teman nak masak kat dapur.” Kata-kata mak diiringi senyuman mesra di bibirnya seolah-olah dia begitu seronok dengan kedatanganku. Lega rasanya. Tapi...
“Pasal belanja Suri jangan risau, kalau setakat makan minum tu mak boleh tanggung, lagipun Sufi tu rajin menanam sayur, habis ditebasnya semak kat belakang rumah tu ditanamnya sayur-sayur kampung. Suri tak bawa baju ye? Ha.. tak apa baju mak pun banyak, boleh Suri pinjam.”
Sekali lagi aku terdiam. Betul ke mak ni boleh baca fikiran orang??

******

Aku memandang penampilanku di cermin usang milik emak ini berkali-kali. Macam tak percaya pakaian ni tersarung di tubuhku. Seumur hidupku inilah pertama kali aku memakai kain batik dan berbaju kurung pendek, atau kurung kedah kata mak. Kelakar pula rasanya. Macam anak gadis kampung!. Aku tersenyum sendiri lalu menyarung tudung milikku menutupi rambut sebelum keluar dari bilik.
Aku ke dapur dan mendapati dapur itu sunyi. Tiada sesiapa di situ, mana perginya Sufi dan mak?. Aku ke ruang hadapan dan terdengar sayup-sayup suara mak dan Sufi di luar rumah. Aku menyarung selipar yang agak besar saiznya dari kakiku dan menuju ke belakang rumah.
“Ambil la lagi keladi tu, mana cukup banyak ni..” Leter mak kepada Sufi yang sedang bercangkung.
“Cukup la tu mak, bukan ramai pun yang nak makan, tiga orang je. Yang ni kita simpan la untuk lain kali pula..” Kata Sufi. Aku yang tercegat di belakang ni pun mereka tak sedar.
“Hisy.. nak disimpan-simpan buat apa, nanti dia tumbuh lagi banyak.. tak termakan kita.” Kata mak pula.
“Ehem..ehemmm...mak, buat apa tu?” Tegurku lantas mematahkan terus perbalahan di antara Sufi dan mak. Kedua-dua mereka mengalih memandang ke arahku.
“Ni, mak nak ambil keladi nak buat masak tengahari ni, si Sufi ni ha.. orang suruh ambil banyak dia kata cukup sepokok. Mana cukup....”
Aku mengalihkan mata memandang Sufi yang sedang bercangkung sambil memandangku dari atas ke bawah. Tidak berkelip.
“Mak nak buat keladi masak asam, sedap.. Suri pernah makan keladi masak asam?” Soal mak. Aku menjawab pertanyaan mak tapi dalam keadaan mataku belum lepas memandang pelik ke arah Sufi yang memandangku sebegitu rupa.
“Err.. tak pernah mak”
Sedikit demi sedikit aku nampak senyuman sinis terukir di bibir Sufi sebelum dia ketawa terbahak-bahak sampai terduduk di atas tanah. Dan menghentak-hentakkan kaki.
Aku kerut kening dengan perlakuannya manakala emak menggaru-garu kepalanya yang ditutupi anak tudung. Agak lama kami berdua memandang dengan penuh kehairanan ke arah Sufi.
“Mak.. kelakarnya tengok Suri pakai baju mak ni, macam anak orang kampung la... hahahahha...” Kata Sufi sambil menekan-nekan perutnya dan menunjuk ke arahku.
Mak memandangku sebelum mak juga ikut ketawa sedikit demi sedikit. Aku sendiri turut mentertawakan penampilanku. Kelakar.
“Heii.. sudah sudah la tu, jangan ketawakan orang. Tak baik.” Tegur mak, tapi mulutnya sendiri masih belum berhenti ketawa.
“Kelakar la mak..” Kata Sufi dengan sisa tawanya.
“Ishh... sakit perut aku asyik ketawa, dah la.. jom Suri kita masuk. Jangan dilayan budak tu.. bab ketawakan orang nombor satu la dia."
Aku berjalan beriringan dengan mak ke dapur. Sempat aku menoleh dan melihat Sufi tergeleng-geleng kepalanya dengan sisa ketawa di bibir. Mata kami sempat bertaut dan aku menghadiahkannya sebuah senyuman. Sebagai tanda terima kasih.

*******

Selepas beberapa hari di rumah ini macam-macam perkara baru yang aku belajar. Kalau dulu tak pernah-pernahnya aku memasak tapi sekarang, aku dah jadi pembantu tukang masak. Kalau awal-awal dulu aku tak tahu apa tu kerisik tapi sekarang aku pula yang jadi tauke kerisik. Teringat masa mula-mula aku belajar buat kerisik.
“Kelapa parut ni kita kena goreng dulu bagi garing sikit. Tapi bukan goreng guna minyak. Goreng je dalam kuali tanpa minyak, bila dia dah tukar warna jadi perang tu baru boleh tumbuk.” Terang mak panjang lebar. Aku mengangguk-angukkan kepala.
“Lepas tu masukkan dalam lesung ni, tumbuk sampai dia lumat, tumbuk sampai jadi kerisik lah. ha.. nah! Tumbuk.” Kata mak lalu menghulurkan kepadaku anak lesung batu yang panjang tu. Aku sambut dengan sebelah tangan, tapi lesung itu hampir terlepas dari peganganku kerana terlalu berat.
“Beratnya mak..” Rengekku.
“Ishh.. tak berat la, mak pegang sebelah tangan je ha.” Kata mak sambil menunjukkan demonstrasi menumbuk kerisik.
“Nah, cuba..” Mak menyerahkan kembali tugas menumbuk itu kepadaku. Aku cengkam penumbuk itu dengan kedua-dua belah tangan dan mengangkatnya dengan segala kudrat yang aku ada. Satu, dua, tiga.. dah! Aku termengah.
“Aik?.. baru tiga kali tumbuk dah tak larat? Macammana nak jadi tauke kerisik ni?..” Tegur Sufi yang tiba-tiba muncul. Mungkin baru balik dari restoran.
“Siapa kata tak larat? Orang nak betulkan baju la,,” Kataku pura-pura menyinsing lengan baju kurung. Sufi tersengih memerli.
“Cepat la tumbuk, aku nak tengok.” Gesa Sufi sedangkan aku sengaja melambat-lambatkan menyinsing lengan baju dengan harapan yang dia akan pergi. Tapi yang terjadi sebaliknya!.
“Eeii.. sibuk je nak tengok orang tumbuk buat apa, pergi la main jauh-jauh.” Kataku pura-pura marah.
“Ala, biarla kita nak main kat sini pun, apa salahnya.” Kata Sufi menggelarkan dirinya “kita” macam budak-budak pula.
“Eeii.. orang tak suka la kamu main kat sini, orang susah nak buat kerja.. pergi la main jauh-jauh. Karang orang panggil mak kang!!..” Kataku seakan menggertaknya.
“Ala.. kita tak kisah pun.. panggil la, kita nak duduk kat sini juga. Cepat la Suri.. kita nak tengok awak main tumbuk-tumbuk.” Kata Sufi menyakatku.
“Eii.. makkkk... tengok Sufi ni.. dia kacau Suri...” Jeritku kepada mak yang sedang mengutip cili di luar rumah.
“Sufiiii.. karang mak suruh kamu yang tumbuk kerisik tu baru kamu tau.” Jerit mak dari luar cukup jelas untuk pendengaran kami.
“Eeii.. dia ni, suka mengadu la. Kita tak nak kawan dengan kamu dah.” Kata Sufi dengan mulut yang sengaja di muncungkan lalu beredar ke biliknya.
Aku tersenyum dengan gelagat spontannya.


---------------------????


Siapa Sufi sebenarnya?


*Untuk membaca versi penuh, tunggu kemunculan buku koleksi cerita mia kaftiya bahagian 2, nanti! heheh.. Oh ya, untuk buku Cerita cinta miaKaftiya dah boleh diorder sekarang! Klik sini.





2 ulasan:

KNR_Nida berkata...

best!!!

Tanpa Nama berkata...

awal yang baik